PM ke IJN untuk ziarah Hadi, bekas penasihat

PM ke IJN untuk ziarah Hadi, bekas penasihat

Hadi Awang dan bekas penasihat Anwar Ibrahim, Ziauddin Sardar, menerima rawatan di IJN.

Anwar Ibrahim bersama rakannya, Ziauddin Sardar, yang juga bekas penasihat beliau ketika menjadi menteri pendidikan. (Gambar PMO)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berada di Institut Jantung Negara (IJN) petang tadi untuk menziarahi Presiden PAS, Hadi Awang, dan bekas penasihatnya ketika menjadi menteri pendidikan, Ziauddin Sardar.

Bernama melaporkan Anwar tiba di IJN selepas solat Jumaat.

Agensi berita itu melaporkan Hadi, dan Ziauddin, seorang warga British berketurunan Pakistan, menerima rawatan di hospital itu.

Ziauddin menjadi penasihat khas kepada Anwar pada 1987, dan banyak menulis tentang dunia Islam.

Ditemui pemberita di IJN, Anwar yang menggunakan gelaran ‘ustaz’ untuk Hadi mendoakan kesihatan pemimpin PAS itu dan rakannya.

“Kita doa insya-Allah mereka pulih seperti biasa,” katanya, lapor Bernama.

Sementara itu, Setiausaha politik Hadi, Syahir Sulaiman, memaklumkan kepada FMT bahawa presiden PAS itu berada di IJN sejak 1 Jan.

Setiausaha akhbar Hadi, Abdul Malik Ab Razak, memberitahu FMT bahawa Hadi dalam keadaan stabil dan dalam pemantauan.

Pihaknya dimaklumkan tentang kehadiran Anwar, namun tidak berkesempatan berjumpa Hadi.

“Tuan guru dalam prosedur rawatan ketika itu,” katanya.

Anak Hadi, Muhammad Khalil, memaklumkan bahawa Hadi sedang menjalani prosedur seperti dijadualkan.

“Insya-Allah dalam sehari dua ini akan ‘discharge’,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.