Lembaga Wakaf Hindu P Pinang kini bawah Kementerian Perpaduan

Lembaga Wakaf Hindu P Pinang kini bawah Kementerian Perpaduan

Lembaga yang sebelum ini diselia oleh kerajaan negeri itu mentadbir 5 wakaf, harta, dan 13 kuil di Pulau Pinang.

Ahli Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang bersama Yang di-Pertua Negeri Ahmad Fuzi Razak ketika lawatannya ke Waterfall Hilltop Temple tahun lepas. (Gambar hebpenang.gov.my)
GEORGE TOWN:
Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, yang sebelum ini diselia oleh kerajaan negeri, kini berada bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata, lembaga itu dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia dipindahkan bawah kementerian sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula.

Beliau berkata, kedua-dua agensi itu akan memberikan “impak positif dalam jangka panjang kepada pembangunan dan penambahbaikan kaum India di negara ini”.

Kementerian akan terus membantu golongan berpendapatan rendah dalam masyarakat India, meningkatkan kedudukan mereka dari segi pendidikan, ekonomi dan masyarakat, katanya.

Lembaga itu ialah badan berkanun yang ditubuhkan bawah enakmen 1906 oleh kerajaan kolonial Negeri-Negeri Selat Singapura, Pulau Pinang dan Melaka. Enakmen itu kemudiannya menjadi undang-undang persekutuan sebagai Akta Wakaf Hindu.

Lembaga itu mentadbir lima wakaf, harta, dan 13 kuil di Pulau Pinang. Ia juga menganjurkan perayaan Thaipusam dan Ponggal di Pulau Pinang setiap tahun.

Lembaga itu mempunyai pengerusi dan naib pengerusi serta 11 pesuruhjaya, kesemuanya dilantik oleh gabenor Pulau Pinang atas nasihat kerajaan negeri.

Pengerusi semasanya ialah RSN Rayer, Ahli Parlimen DAP Jelutong, manakala naib pengerusi ialah senator Dr Lingeshwaran R Arunasalam. Antara pesuruhjaya dalam lembaga itu termasuk exco kerajaan negeri S Sundarajoo; pemimpin MIC J Dhinagaran; dan Adun DAP Bagan Dalam K Kumaran.

Rayer mengalu-alukan perpindahan lembaga itu ke Kementerian Perpaduan dan berharap ia akan mendapat geran kewangan yang besar.

“Ini datang pada waktu yang tepat, memandangkan kita akan menyambut Thaipusam di Pulau Pinang bertemakan perpaduan,” katanya.

“Diharapkan lembaga ini akan mendapat geran tahunan yang besar supaya dapat terus menguruskan kuil dan menjaga kebajikan (masyarakat) Hindu secara amnya.

“Kami berterima kasih kepada perdana menteri atas keputusan ini, yang menunjukkan beliau mengambil berat tentang hal ehwal (masyarakat) India dan Hindu.”

Apabila ditanya sama ada lembaga itu akan kehilangan autonomi, kerana ia kini dikawal Putrajaya, bukan lagi kerajaan Pulau Pinang, Rayer menidakkannya.

“Lembaga bersedia untuk mendengar dan bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan,” katanya.

FMT sedang menunggu komen daripada Ketua Menteri Chow Kon Yeow berhubung perkara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.