Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat

Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat

Menurut Nadma seramai 1,481 penduduk kini berlindung di 13 PPS di negeri itu pada pagi ini.

Banjir di Johor turut menyebabkan 23 jalan ditutup akibat ditenggelami air, jambatan rosak atau runtuh dan akibat tanah runtuh. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat kepada 1,481 orang yang dipindahkan ke 13 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 6 pagi ini berbanding 1,024 mangsa malam tadi.

Berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), 13 PPS yang dibuka itu ialah empat di Johor Bahru yang menempatkan 420 mangsa, enam di Kota Tinggi (720 mangsa), dua di Mersing (271 orang) dan satu di Kluang (70 orang).

Menurut Nadma, status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati empat sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Tenglu Besar Mersing, Johor yang merekodkan 2.12m dengan trend menurun; Sungai Endau Kluang, Johor (14.74m dengan trend meningkat); Sungai Perak Hulu Perak, Perak (112.04m dengan trend menurun) dan Sungai Arau, Perlis (24.15m dengan trend meningkat) setakat pagi ini.

Laporan itu juga menyatakan terdapat 23 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan akibat tanah runtuh.

Jalan terlibat antaranya Jalan Durian Mentangau, Dungun, Terengganu; Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli, Hulu Perak,Perak; Jalan Kota Tinggi-Kluang, Johor; Jalan Bukit Jugra, Kuala Langat, Selangor dan Jalan Temerloh-Jerantut, Temerloh, Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.