Buang masa, tak perlu siasat ‘Kepung Demi Palestin’, kata aktivis

Buang masa, tak perlu siasat ‘Kepung Demi Palestin’, kata aktivis

Pengarah Lawyers for Liberty Zaid Malek berkata peserta acara itu menggunakan hak mereka di bawah Perkara 10 Perlembagaan persekutuan.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia Sevan Doraisamy berharap pihak berkuasa tidak membuka sebarang siasatan baharu berhubung acara itu.
KUALA LUMPUR:
Beberapa aktivis mengkritik pihak berkuasa berhubung siasatan terhadap acara “Kepung Demi Palestin” yang diadakan di luar kedutaan Amerika Syarikat, yang dianggap sebagai “membazir masa”.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia, Sevan Doraisamy, yang merupakan antara 15 orang yang dipanggil memberikan keterangan, mempersoalkan keperluan siasatan tersebut.

“Polis sendiri mempunyai rakaman tentang apa yang berlaku, tiada jenayah atau insiden berlaku,” katanya kepada wartawan selepas memberikan keterangan.

“Kita dah ada ketua polis negara dan perdana menteri baharu, jadi mengapa kita masih menggunakan SOP lama apabila perhimpunan awam berlaku?”

Tambahnya, setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun secara aman.

“Kita harus terus menuntut agar konflik di Gaza dihentikan. Kita berharap kerajaan tidak akan membuka sebarang siasatan baru berkenaan perkara ini,” katanya.

Perhimpunan itu diadakan bagi membantah keengganan Amerika Syarikat menggesa konflik berterusan antara Israel dan Hamas di Gaza dihentikan. Ia dihadiri oleh NGO dan tokoh politik selama enam hari bermula 26 Dis.

Polis sebelum ini memberitahu bahawa acara itu dijalankan tanpa permit.

Sementara itu, Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek, berkata keputusan polis memanggil peserta adalah satu bentuk ugutan.

“Mereka yang menyertai atau menganjurkan perhimpunan tersebut hanya menggunakan hak mereka di bawah Perkara 10 Perlembagaan persekutuan.”

Perkara 10 Perlembagaan persekutuan menjamin semua warganegara hak kebebasan bersuara, berhimpun, dan berpersatuan.

Zaid juga berkata terdapat cubaan oleh pegawai polis untuk menghalang peguam daripada menemani anak guam mereka semasa memberikan keterangan.

Antara yang dipanggil memberikan keterangan termasuk Setiausaha Agung Muda, Amir Hadi, dan rakan sejawatnya dari PSM, A Sivarajan; Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda; Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong, dan Ketua Pemuda PKR Batu, Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya.

Aktivis Hishamuddin Rais, Ambiga Sreenevasan, dan Tian Chua juga dipanggil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.