‘Taktik lama DAP’, Bersatu Bangi tolak permohonan maaf Ngeh

‘Taktik lama DAP’, Bersatu Bangi tolak permohonan maaf Ngeh

Wan Saiful Wan Jan mendakwa DAP melontarkan pandangan mengancam perpaduan dan kemudian menarik balik atau mohon maaf begitu sahaja.

Ngeh Koo Ham memohon maaf dan menarik balik saranannya supaya kerajaan melantik pakar orang bukan Islam membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Bersatu Bangi menolak permohonan maaf Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham berhubung cadangan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam.

Ketuanya Wan Saiful Wan Jan mendakwa ia taktik lama DAP dengan melontarkan pandangan mengancam perpaduan negara dan kemudian menarik balik atau mohon maaf begitu sahaja.

“Bersatu Bangi mengecam sikap ambil mudah Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional yang sehingga hari ini tidak mengambil sebarang tindakan serius terhadap Ngeh dan DAP.

“Jika pemimpin atau aktivis Bersatu bercakap mengenai hak orang Islam dan Melayu, maka pelbagai agensi dikerah mengambil pelbagai tindakan segera.

“Tetapi apabila DAP biadab, mohon maaf sambil lewa melalui Facebook sahaja nampaknya sudah cukup bagi Anwar dan Umno,” kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dalam kenyataan.

Wan Saiful turut menggesa polis mahupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) membuat siasatan serta mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen DAP yang sengaja menyentuh isu raja, agama dan kaum (3R).

Beliau juga meminta pemimpin Umno bersikap tegas dan berani menarik sokongan daripada Anwar jika terus berlembut dengan kebiadaban DAP.

Sabtu lalu, Ngeh memohon maaf dan menarik balik saranannya supaya kerajaan melantik orang bukan Islam ke jawatankuasa berkaitan supaya hak dan perlindungan yang diberikan Perlembagaan tidak terjejas.

Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta orang politik khususnya bukan beragama Islam tidak mencampuri urusan hal ehwal Islam susulan cadangan Ngeh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.