Polis panggil 15 individu berhubung ‘Kepung Demi Palestin’

Polis panggil 15 individu berhubung ‘Kepung Demi Palestin’

Antara individu dipanggil termasuk Setiausaha Agung Muda Amir Hadi; Setiausaha Agung PSM A Sivarajan; Ambiga Sreenevasan; dan Tian Chua.

Acara ‘Kepung Demi Palestin diadakan di luar kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur selama enam hari bermula 26 Dis.
PETALING JAYA:
Polis akan memanggil 15 individu esok untuk membantu siasatan berhubung acara “Kepung Demi Palestin” yang diadakan di luar kedutaan Amerika Syarikat minggu lepas, kata Muda.

Acara yang dihadiri NGO dan tokoh-tokoh politik itu, bertujuan membantah keengganan AS menggesa konflik antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza dihentikan, diadakan selama enam hari bermula 26 Dis.

Polis sebelum ini berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung kesalahan penganjuran acara tanpa permit.

Dalam kenyataan, Muda berkata, antara individu yang dipanggil untuk hadir ke balai polis Dang Wangi esok termasuk setiausaha agungnya, Amir Hadi dan rakan sejawatannya dalam PSM, A Sivarajan.

Selain itu, Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda; Timbalan Ketua Pemuda MCA Mike Chong; dan Ketua Pemuda PKR Batu Muhammad Sabda Suluh Lestari Yahya turut dipanggil.

Individu lain termasuk aktivis Hishamuddin Rais, Ambiga Sreenevasan, Sevan Doraisamy dan Tian Chua.

Tian Chua, ahli kanan dalam kumpulan penganjur Sekretariat Solidariti Palestin sebelum ini menyifatkan acara itu berjaya, tetapi berkata kumpulan itu tidak akan berpuas hati sehinggalah keselamatan Palestin terjamin dan negara itu “memperoleh semula kedaulatannya”.

Konflik antara Israel dan Hamas sejak 7 Okt tahun lepas mengorbankan lebih 20,000 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.