Johari cadang kompaun RM30,000 syarikat gagal tempatkan pekerja asing

Johari cadang kompaun RM30,000 syarikat gagal tempatkan pekerja asing

Menteri perladangan dan komoditi berkata isu berkenaan memberi kesan kepada semua industri dalam negara khususnya perladangan.

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani berkata syarikat yang didapati membawa masuk pekerja asing tetapi gagal menempatkan mereka di sektor pekerjaan perlu dikenakan kompaun tinggi.
PETALING JAYA:
Syarikat yang didapati membawa masuk pekerja asing tetapi gagal menempatkan mereka di sektor pekerjaan perlu dikenakan kompaun tinggi sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani.

Johari yang menyuarakan cadangan itu berkata, isu berkenaan memberi kesan kepada semua industri dalam negara khususnya perladangan.

Katanya, kompaun tinggi boleh digunakan semula untuk menanggung kos penghantaran pulang pekerja asing ke negara asal, berbanding sebelum ini yang dibiayai kerajaan.

“Saya nak cadangkan mana-mana syarikat yang bawa pekerja asing datang ke negara kita dan dalam sebulan masih tak ada kerja, syarikat itu sepatutnya dikompaun RM20,000 sehingga RM30,000 seorang.

“Kalau bawa 500 pekerja, darab dengan 500, kalau 1,000 (pekerja), darab dengan 1,000, barulah boleh guna benda ini, kalau tak ada kerja, kita hantar balik guna kos ini, kalau tidak kerajaan kena tanggung kos,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), menurut Berita Harian.

Beliau berkata, isu yang timbul itu menunjukkan seolah-olah ada syarikat dalam sektor berkenaan cuba mengeksploitasinya sebagai perniagaan.

“Kalau dia (syarikat) bawa datang pekerja (asing), (syarikat itu) tunggu siapa datang, baru nak supply (bekalkan), bermakna mereka dah buat benda ini satu perniagaan, tak boleh, pekerja asing ini adalah untuk bekerja dalam sektor 3D (kotor, sukar, bahaya).

“Kita dapat banyak laporan mengatakan ramai pekerja asing datang ke negara kita, datang sini, tapi tak ada kerja, baru-baru ini di Pengerang (Johor) beratur panjang, mereka pergi ke balai polis buat laporan sebab tak ada kerja sedangkan banyak ladang kita memerlukan ramai pekerja asing,” katanya.

Johari berkata, isu punca kuasa dalam menangani masalah pekerja asing sudah dibangkitkan pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Katanya, isu membabitkan beberapa kementerian khususnya Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu perlu diselesaikan segera selaras hasrat Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Banyak isu yang bersangkut paut antara kementerian contohnya, Jabatan Imigresen menjalankan penguatkuasaan. Jadi kalau mereka tengok pekerja itu datang dengan cukup permit dan pasport, dia tak boleh buat apa.

“Kemudian KSM mengeluarkan kuota untuk bagi kepada industri yang minta pekerja dan apabila mereka datang, tak ada kerja dan apabila KSM ingin ‘transfer’ kuota itu kepada syarikat lain, tak boleh sebab mereka tak ada punca kuasa.

“Kalau tidak, orang datang ke negara kita, harapkan pekerjaan tapi tak ada kerja, ia memberi imej tidak baik kepada negara kita sedangkan industri memerlukan pekerja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.