Hentilah porak-peranda kerajaan, Zaliha ingatkan Sanusi

Hentilah porak-peranda kerajaan, Zaliha ingatkan Sanusi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan rakyat sudah muak dengan permainan pembangkang.

Zaliha Mustafa menggesa Sanusi Nor fokus kepada tugas sebagai pemimpin dan berkhidmat untuk rakyat.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor diingatkan berhenti memporak-perandakan politik negara susulan laporan mengenai rancangan untuk menjatuhkan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata Sanusi sebaliknya harus fokus kepada tugas sebagai pemimpin dan berkhidmat untuk rakyat.

“Rakyat pun dah muak dengan permainan ini dan rakyat mula nampak yang mereka ini kemaruk kuasa hingga sanggup guna apa cara sekalipun untuk jadi kerajaan,” katanya kepada FMT.

Zaliha mengulas kenyataan Sanusi berkaitan wujud rancangan untuk menjatuhkan kerajaan mengikut proses dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

Semalam, Sanusi berkata pihaknya mahu menggunakan kelompongan Akta Antilompat Parti yang didakwa digunakan kerajaan untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen Perikatan Nasional.

Zaliha berkata, cerita “tebuk atap” sudah berulang kali dimainkan oleh pembangkang.

“Tapi sampai sekarang, Alhamdulillah, kerajaan masih ada majoriti dua pertiga.

“Pembangkang patut fokus kepada kerja yang sepatutnya dibuat, bukan hanya fikir dan susun atur nak jadi kerajaan melalui cara tebuk atap,” katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan tiada komplot untuk menjatuhkan kerajaan.

Menurut Wan Fayhsal, kenyataan Sanusi yang membayangkan kerajaan akan dijatuhkan tidak perlu dipandang serius.

“(Beliau) mengusik saja. Sanusi kan suka sindir pedas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.