
Sebagai contoh, katanya, butiran berkaitan pendapatan harus sedia terisi dengan tepat bagi mengelakkan pengguna memasukkan maklumat palsu untuk melayakkan diri mendapat subsidi.
Jika maklumat berkenaan salah, pengguna boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa, tambahnya.
“Jika saya isytihar pendapatan bulanan saya RM X dan ini bercanggah dengan rekod KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), jumlah pendapatan mana yang akan digunakan sebagai rujukan?
“Jika guna jumlah direkodkan KWSP, maklumat ini sepatutnya sudah terisi dalam sistem Padu,” katanya di platform media sosial X.
Dalam catatan sebelum ini, Ong berkata, Padu merekodkan statusnya sebagai bujang dan menyatakan bahawa beliau masih berkhidmat dalam Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri. Kelayakan tertinggi beliau direkodkan sebagai sijil kolej.
Ong berkata, ketepatan maklumat dalam Padu boleh dipertikaikan sekiranya butiran peribadi asas seperti status perkahwinan tidak direkodkan dengan tepat.
“Jika rangka kerja maklumat tidak disepadukan dengan lancar, dan maklumat yang dimasukkan pengguna tidak dapat disahkan, Padu akhirnya tidak dapat digunakan untuk tujuan asalnya, iaitu memperkenalkan sistem subsidi bersasar yang lebih tepat,” kata Ong.
Ong mengemukakan cadangan sedemikian sebagai respons kepada ciapan balas pengguna X, termasuk @MuhammadShibl89 bahawa Ong mencadangkan Padu mungkin menyimpan maklumat palsu.
Sejak Padu dilancarkan pada Selasa, Ong mengutarakan kebimbangan mengenai pelbagai aspek sistem tersebut. Beliau menggesa kerajaan untuk menangguhkan pendaftaran pengguna Padu sehingga semua masalah berhubung keselamatan selesai.
Pada Selasa, Ong mendakwa, ada pihak mungkin menggunakan kad pengenalan dan poskod individu lain yang belum berdaftar untuk “mendaftar bagi pihak mereka”.
Hal ini mungkin berlaku kerana akaun Padu boleh didaftarkan sebelum proses kelulusan e-KYC (pengesahan identiti elektronik), yang menurutnya mengambil masa tiga hari, selesai.
Bagaimanapun, sumber kerajaan yang bercakap dengan FMT menyangkal dakwaan Ong dengan berkata, proses e-KYC Padu memerlukan pengguna memuat naik swafoto dan gambar kad pengenalan mereka.
Menteri ekonomi Rafizi Ramli mempertikaikan dakwaan Ong dengan berkata, proses itu hanya mengambil masa kurang lima minit.
Menyangkal kemungkinan berlakunya kecurian identiti pada peringkat pendaftaran, Rafizi berkata, pasukan pembangun Padu melihat keselamatan data, termasuk pengalaman pengguna, dari semua sudut.