Serang anggota JPJ: Lelaki dipenjara sehari, denda RM4,000

Serang anggota JPJ: Lelaki dipenjara sehari, denda RM4,000

JPJ Kedah berkata kejadian itu berlaku pada November tahun lalu.

Seorang lelaki bertindak menyerang anggota JPJ dipercayai kerana tidak berpuas hati diarahkan berhenti bagi pemeriksaan.
PETALING JAYA:
Video tular memaparkan seorang lelaki menyerang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dianggap selesai selepas pihak terlibat dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM4,000.

JPJ Kedah dalam kenyataan, berkata kejadian dipaparkan dalam rakaman video tersebut berlaku pada 22 Nov 2023, di Jalan Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah.

Katanya, kejadian berlaku susulan kenderaan jenis motolori rigid Luton/Kotak model Nissan Vanette dinaiki lelaki berkenaan enggan berhenti selepas didapati dalam keadaan mencurigakan.

Menurut kenyataan itu lagi, didapati berlaku tiga kesalahan – Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, dan perakuan Puspakom tamat tempoh.

“Kenderaan tersebut yang telah diarahkan berhenti, namun pemandu enggan memberi kerjasama. Ketika berjaya ditahan, pihak yang terlibat telah melakukan kekerasan jenayah dan menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas,” katanya.

Hari ini, tular video berdurasi 1 minit 24 saat memaparkan kenderaan dimaksudkan enggan berhenti semasa ditahan.

Bagaimanapun, kenderaan itu berhenti di Jalan Tasik Darul Aman, Jitra, lalu seorang lelaki meluru keluar menyerang anggota JPJ sambil mengeluarkan kata-kata kesat, selain provokasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.