
Charles Santiago berkata Rohingya terpaksa berpindah dan “dibunuh beramai-ramai” oleh kerajaan mereka sendiri di negeri Rakhine dan hanya mencari tempat selamat.
Bekas Ahli Parlimen Klang itu berkata dalam beberapa keadaan mereka diperdagangkan ke negara ini.
“Kita sepatutnya lebih bersimpati dengan nasib mereka,” kata Santiago kepada FMT.
Santiago berkata Rohingya adalah seperti minoriti lain di seluruh dunia yang bergantung kepada belas ihsan orang lain dan mereka harus dilindungi.
Santiago, yang juga pengerusi bersama Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia, berkata rakyat Malaysia harus membantu Rohingya, seperti mana yang dilakukan kepada rakyat Palestin.
“Kerajaan harus membenarkan Rohingya bekerja yang akan membantu menangani kekurangan buruh asing.”
Santiago mengulas gesaan Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia Halim Ishak supaya Putrajaya menghantar pulang pelarian Rohingya susulan laporan kartel pemerdagangan manusia melibatkan rakyat Malaysia dan beberapa Rohingya.
Halim yang dipetik Berita Harian berkata, ada perbezaan jelas antara soal kemanusiaan dan kedaulatan negara apabila membicarakan isu pelarian berkenaan yang semakin ramai di negara ini.
Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira, berkata kenyataan Halim tidak kena pada tempatnya, selain berkata terdapat banyak maklumat salah mengenai komuniti Rohingya dan nampaknya rakyat Malaysia mempercayainya.
“Maklumat salah ini menyebabkan orang ramai serkap jarang.”
Pereira, yang telah berkhidmat dengan masyarakat Rohingya sejak 2011, turut mempertikaikan dakwaan Halim bahawa Rohingya terlibat dalam pemerdagangan manusia.
“Orang Rohingya bergantung kepada penyeludup untuk melarikan diri dari negara asal mereka, tetapi mereka tidak menjalankan sindiket itu. Ia dikendalikan oleh orang lain.”