
Ketua Polis Klang Selatan, Cha Hoong Fong berkata kejadian kira-kira 7.30 petang Isnin lalu itu berlaku ketika individu terbabit sedang membuka gerai untuk berniaga.
Katanya, pertengkaran mulut bermula apabila seorang peniaga mendakwa barang gerai di sebelahnya menghalang laluan.
“Individu berkenaan menegur tindakan tersebut sebelum berlaku pertengkaran sehingga membawa kepada insiden tolak-menolak antara mereka,” katanya menurut Sinar Harian sambil menambah tiada kecederaan dilaporkan.
Cha berkata, beberapa individu yang berada berdekatan meleraikan pergaduhan itu dan siasatan mendapati semua individu terbabit ialah ahli keluarga.
Beliau menggesa orang ramai segera menghentikan penyebaran satu video dipercayai berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kegusaran awam.