Kelulusan e-KYC Padu kurang 5 minit, kata Rafizi

Kelulusan e-KYC Padu kurang 5 minit, kata Rafizi

Semua rakyat Malaysia 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan menyemak data di portal Padu serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri.

Rafizi Ramli menafikan dakwaan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming bahawa proses e-KYC akan mengambil masa tiga hari. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menafikan dakwaan proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital), iaitu memuat naik swafoto dan kad pengenalan untuk pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) akan mengambil masa tiga hari.

Beliau berkata, proses itu hanya memerlukan masa kurang lima minit untuk disahkan setakat ini.

“Piawaian industri e-KYC yang diberikan oleh sistem e-KYC dalam pasaran menyebut tiga hari (seperti juga aplikasi yang ada dalam pasaran), tetapi setakat ini, e-KYC bagi pengguna yang mendaftar (untuk Padu) hanya mengambil masa kurang lima minit untuk disahkan.

“Setakat 5 petang (semalam), lebih 40,000 e-KYC disahkan dan pendaftaran dalam baris gilir e-KYC (untuk disahkan) ialah 300. Dengan prestasi sedia ada seperti ini, insya Allah e-KYC akan diproses algoritma dalam tempoh kurang lima minit, jadi tidak timbul e-KYC akan mengambil masa tiga hari,” katanya dalam hantaran di X.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming menerusi X meminta orang ramai mendaftar segera di portal Padu kerana bimbang maklumat kad pengenalan boleh digunakan individu lain disebabkan kelulusan e-KYC mengambil masa tiga hari.

Rafizi berkata, jika berlaku keadaan akaun mana-mana individu didaftarkan orang lain, pengguna boleh terus ke meja bantuan dalam talian, menghubungi pusat panggilan atau ke kaunter fizikal.

Padu dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri.

Semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal Padu serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri diperlukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.