
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hadhariah Syed Ismail bersama Hashim Hamzah, dan Azmi Ariffin, mengetepikan sabitan dan hukuman mati dijatuhkan ke atas M Baskaran atas kesalahan mengedar dadah dan mengenakan hukuman penjara 10 tahun.
Keputusan itu selepas Baskaran, 52, mengaku bersalah atas kesalahan memiliki dadah.
Hadhariah berkata, Baskaran juga tidak dikenakan hukuman sebat kerana dia berusia lebih 50 tahun dan mengarahkan hukuman penjara itu bermula 15 Ogos 2018, iaitu tarikh lelaki itu ditangkap.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud memberitahu mahkamah pihak pendakwaan bersetuju untuk meminda pertuduhan kepada memiliki dadah.
Baskaran didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Ogos 2021 kerana mengedar dadah di tempat letak kereta di Taipanco, di kawasan perindustrian Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, Selangor pada 7 petang, 15 Ogos 2018.
Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Baskaran, memohon anak guamnya dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun, kerana dia telah bertaubat atas apa dilakukan dan bagi membolehkannya memulakan hidup baru bersama keluarga.
Fauziah pula meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara antara 10 ke 12 tahun.