Gantung pendaftaran Padu hingga isu keselamatan selesai, kerajaan diberitahu

Gantung pendaftaran Padu hingga isu keselamatan selesai, kerajaan diberitahu

Bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming berharap bekas rakan sekerjanya dalam Jemaah Menteri tidak melihat ini langkah untuk menjejaskan objektif pentadbiran mereka.

Ong Kian Ming berkata, pengguna yang sudah mendaftar, tetapi tidak melalui proses ‘Kenali Pelanggan Anda’ secara elektronik perlu diminta mendaftar semula selepas isu keselamatan selesai.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming menggesa kerajaan menggantung pendaftaran pengguna untuk Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) sehingga kebimbangan berhubung isu keselamatan selesai.

“Saya menyarankan Jemaah Menteri membuat keputusan kolektif untuk menggantung pendaftaran pengguna Padu sehingga isu keselamatan diselesaikan.

“Sistem itu patut diuji tekanan sewajarnya sebelum dilancarkan semula,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pengguna yang sudah mendaftar, tetapi belum melengkapkan pengesahan e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) patut diminta mendaftar semula selepas isu keselamatan selesai.

Semalam, Ong mendakwa rakyat yang tidak mendaftar dengan Padu boleh melihat orang lain menggunakan kad pengenalan dan poskod mereka untuk “mendaftarkan kad pengenalan anda bagi pihak anda”.

Ini kerana katanya, pendaftaran akaun Padu dilakukan sebelum kelulusan e-KYC, yang didakwanya mengambil masa tiga hari.

Tetapi, sumber kerajaan yang bercakap dengan FMT mempertikaikan dakwaan Ong dengan berkata proses e-KYC untuk Padu memerlukan pengguna memuat naik swafoto sendiri bersama gambar kad pengenalan mereka.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, proses kelulusan e-KYC semasa pendaftaran Padu hanya memerlukan masa kurang lima minit, bukannya tiga hari.

Beliau turut memberi jaminan sebarang kes kecurian identiti akibat pendaftaran Padu adalah “minoriti” kerana pasukan membangunkan sistem itu sudah meneliti keselamatan data, termasuk pengalaman pengguna daripada setiap sudut.

Ong dalam kenyataan hari ini turut mengkritik jumlah butiran yang diperlukan untuk mendaftar Padu kerana beberapa maklumat itu sepatutnya sudah tersedia melalui kementerian dan agensi kerajaan.

Katanya, dengan begitu banyak ruang tambahan perlu diisi, ramai pengguna akan melangkaunya atau memberikan maklumat tidak tepat untuk kekal layak menerima subsidi kerajaan.

“Saya berharap bekas rakan sekerja saya dalam Jemaah Menteri tidak melihat ini langkah untuk menjejaskan objektif pentadbiran mereka,” kata bekas timbalan menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu.

Dalam mengetengahkan kelemahan sistem Padu, beliau berharap ia dapat diperbetulkan secepat mungkin sebelum sidang Parlimen akan datang supaya parti pembangkang tidak berpeluang menjadikannya bahan perdebatan politik.

FMT sudah menghubungi Kementerian Ekonomi untuk mengulas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.