Wan Azizah serah sumbangan kepada keluarga mangsa letupan bunga api

Wan Azizah serah sumbangan kepada keluarga mangsa letupan bunga api

Isteri perdana menteri menyumbang wang tunai dan akan mempermudahkan urusan persekolahan anak-anak mangsa.

Dr Wan Azizah Wan Ismail menghulurkan bantuan kepada keluarga mangsa terlibat kejadian letupan bunga api di sebuah hotel di Port Dickson. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Isteri perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada keluarga dua beradik mangsa letupan bunga api di bahagian bumbung sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, menyampaikan sumbangan wang tunai di kediaman waris mangsa di Pangsapuri Seri Perindu, Cheras.

“Kita akan tolong apa yang boleh. (Selain sumbangan wang tunai), kita juga bagi bantuan makanan untuk ahli keluarga mangsa selain akan cuba permudahkan urusan persekolahan anak-anak (mangsa),” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa.

Beliau berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Yayasan Wilayah Persekutuan, dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan Zon Bandar Tun Razak turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa.

Dalam pada itu, Wan Azizah berharap semua pihak mengambil iktibar daripada tragedi itu dengan mengenal pasti bahaya serta risiko melibatkan bahan membakar seperti bunga api.

Dalam insiden pada Isnin, Muhd Helmi Zulkifli, 40, maut manakala adiknya, Muhammad Pahzdlei Zulkifli, 39, cedera akibat terkena serpihan bunga api yang meletup di bahagian bumbung bangunan tempat letak kenderaan sebuah hotel di Port Dickson.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Sembilan (JKKPNS) semalam memaklumkan siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga rakannya sedang menyiapkan pemasangan bunga api bagi sambutan ambang tahun baharu di hotel terbabit sebelum ia meletup secara tiba-tiba pada 11.50 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.