Acu pisau, ceroboh rumah warga emas; lelaki dipenjara 10 bulan

Acu pisau, ceroboh rumah warga emas; lelaki dipenjara 10 bulan

Tertuduh, Shahrum Baba, 50, didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu dalam kejadian di Bukit Rambai, 27 Dis lalu.

Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh kerana mengacukan pisau dan menceroboh rumah warga emas, minggu lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku bersalah mengacukan pisau dan menceroboh rumah warga emas, minggu lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Shahrum Baba, 50, selepas dia membuat pengakuan berkenaan, lapor Harian Metro.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didapati dengan niat mendatangkan ketakutan dan kegusaran kepada mangsa, Sama Osman, 75, apabila mengacukan pisau pemotong daging kepada warga emas itu di sebuah rumah di Bukit Rambai, di sini, pada 27 Disember lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati dengan niat menceroboh rumah mangsa, iaitu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, dalam rayuannya Shahrum yang tidak diwakili peguam memohon hukuman penjara ringan atas alasan sudah insaf.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bagi setiap pertuduhan dan bermula serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 27 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.