
Tertuduh yang berusia 53 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad, lapor Astro Awani.
Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan amang seksual bagi maksud seksual terhadap mangsa, yang juga anak bongsunya.
Dua daripada perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Chemor Perdana, Ipoh, kira-kira 9.30 malam dan lebih kurang jam 2 pagi pada akhir 2021.
Dia sekali lagi melakukan perbuatan itu di Rancangan Perumahan Awam 2, Hulu Kinta, kira-kira 6 pagi, 7 Oktober 2022 manakala satu lagi di Kampung Tersusun Tasek, Bercham, lebih kurang jam 9.30 malam, akhir 2022.
Semua dakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis antara satu hingga tiga tahun, seperti mana di bawah Seksyen 295 (1A) Kanun Prosedur Jenayah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 2 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’ain Khalifah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.