
Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata komen Pua menunjukkan beliau tidak sepenuhnya mengikuti perbahasan semua Ahli Parlimen.
“Banyak isu besar dibangkitkan berkait ekonomi, pelaburan, perubahan iklim, impak penyusutan ringgit, dan banyak lagi,” katanya kepada FMT.
“Mereka hanya mahu mendapatkan penjelasan daripada kerajaan berkaitan isu 3R,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu merujuk kepada perkara agama, bangsa, dan raja.
Semalam, Pua membidas Ahli Parlimen pembangkang, yang menurutnya “tidak mempunyai isi kukuh” ketika berbahas dalam Dewan Rakyat, selain topik dibangkit kebiasaannya hanya satu dimensi.
“Topik dan isu mereka selalu hanya satu dimensi, sentiasa mengenai kaum, agama, alkohol, atau pemakaian,” kata bekas Ahli Parlimen Damansara dalam audio siar.
Tuan Ibrahim juga mendakwa apa diperkatakan Pua adalah bagi mengalih tumpuan terhadap kontroversi dicetuskan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham.
Wakil rakyat DAP itu baru-baru ini mencadangkan pakar Perlembagaan bukan Muslim dilantik untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam, yang kemudian ditegur Sultan Selangor.
Susulan itu, Ngeh memohon maaf atas kenyataan dikemukakan.
Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata Pua sepatutnya mengulas ketidakupayaan segelintir menteri menjawab soalan di Parlimen.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi menggambarkan Pua “mungkin baharu keluar gua tanpa internet”.
Katanya, Pua sepatutnya membantu kerajaan memerintah menyelesaikan masalah membelenggu rakyat, berbanding mencari kesalahan pembangkang.