
Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin berkata, suspek pada mulanya dikesan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) IPK Pulau Pinang memandu kereta jenis Proton X70 di kawasan Machang Bubok menghala Sungai Lembu, lapor Sinar Harian.
Katanya, polis mengarahkan lelaki itu berhenti tetapi suspek bertindak cuba meloloskan diri sebelum melepaskan tembakan ke arah anggota polis.
“Bagi mempertahankan diri, pasukan polis telah melepaskan tembakan pada kenderaan suspek namun dia tetap cuba meloloskan diri sebelum kenderaannya terbabas selepas dikejar sejauh 200m.

“Suspek kemudiannya keluar dari kenderaan dan mengacukan pistol ke arah anggota polis namun tindakan pantas anggota D9 melepaskan tembakan berjaya menumpaskan penjenayah terbabit,” katanya ketika ditemui wartawan di lokasi kejadian.
Katanya, semakan mendapati kenderaan yang dipandu suspek berusia 44 tahun itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kenderaan itu turut digunakan dalam dua kejadian samun di sebuah kedai nombor ramalan dan kedai serbaneka di Seberang Perai Utara pada awal bulan ini.
“Siasatan mendapati suspek melakukan jenayah samun ini secara solo dan menggunakan pistol bagi menakutkan mangsa sebelum membawa lari pelbagai barangan berharga.
“Kita percaya penjenayah ini seorang yang amat berbahaya dan memiliki senjata api jenis pistol semi automatik,” katanya.
Menurutnya, suspek yang berasal dari Pulau Pinang itu mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk empat kes samun, dadah, kes akta senjata serta bahan kakisan serta pernah dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat.
“Mengikut rekod, suspek sebelum ini pernah melakukan samun di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur dan kita akan buat semakan sama ada dia juga terlibat dengan kes aktiviti jenayah sama di negeri jiran seperti di Kedah dan Perak dengan menggunakan modus operandi yang sama,” katanya.