
Varughese berkata Majlis Peguam berada dalam kedudukan terbaik untuk menentukan hala tuju LPQB, termasuk perkara yang berkaitan dengan peperiksaan Sijil Amalan Guaman.
LPQB kini diketuai oleh peguam negara di bawah Akta Profesion Undang-undang.
Ahli lembaga yang lain termasuk dua hakim yang dipilih oleh ketua hakim negara, seorang ahli akademik dari Fakulti Undang-undang yang dipilih oleh menteri pengajian tinggi, dan presiden Majlis Peguam atau wakilnya. Ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan pula sebagai setiausaha.

Varughese berkata Majlis Peguam pada 2019 mencadangkan pindaan kepada Akta Profesion Undang-undang, mengambil kira perubahan yang berlaku dalam profesion undang-undang sejak 1976.
“Antara cadangan adalah untuk mengubah susunan ahli lembaga di mana Majlis Peguam akan mempunyai wakil yang lebih besar,” katanya.
Seorang peguam Fahri Azzat, berkata bahawa Majlis Peguam sepatutnya mengambil alih kepimpinan kerana ia lebih dekat dengan profesion itu dan bertanggungjawab terhadap kursus pembangunan profesionalnya.
LPQB tidak menjalankan sebarang program peningkatan kerjaya dan pendidikan untuk peguam, selain daripada mengendalikan peperiksaan Sijil Amalan Guaman dan peperiksaan kelayakan Bahasa Malaysia, katanya.
Beliau juga mencadangkan agar ahli lembaga merangkumi hakim-hakim bersara dari Mahkamah Agung UK atau Mahkamah Tinggi Australia.
Katanya, pendapat Majlis Peguam juga harus diguna pakai dalam menentukan silibus dan modul latihan undang-undang di universiti tempatan.
Seorang lagi peguam, R Kengadharan juga mencadangkan agar LPQB mengiktiraf beberapa universiti di negara Asia Selatan yang menawarkan kursus undang-undang yang telah terbukti berkualiti.