
Beliau berkata daripada jumlah itu, 15 kes dilaporkan di Kelantan manakala lima lagi di Terengganu.
“Semua kes Covid-19 yang dilaporkan adalah stabil dan terdiri daripada kategori dua (17 kes), kategori tiga (2 kes) dan kategori empat (1 kes).
“Kes Covid-19 kategori empat merupakan warga emas dengan komorbid hipertensi tidak terkawal, namun pesakit terbabit telah discaj dari Hospital Jeli di Kelantan, semalam,” katanya selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Jeli 1.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKNK) Kelantan Dr Zaini Hussin.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata setakat ini 297 pasukan perubatan, 286 pasukan kesihatan, 102 pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial serta 286 pasukan promosi digerakkan ke PPS seluruh negara bagi memberi perkhidmatan kepada mangsa banjir.
“Sehingga hari ini, tiada keperluan bantuan mobilisasi petugas ke negeri terlibat banjir, namun kita sentiasa bersedia menggerakkan pasukan mobilisasi ke negeri terjejas banjir sekiranya diperlukan.
“Sebanyak 123 Bantuan Awal Psikologi turut dijalankan kepada petugas kesihatan bagi mengesan awal masalah kesihatan mental untuk memberi rawatan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit sentiasa dilakukan pasukan kesihatan di PPS seperti pemeriksaan tempat penyediaan makanan, pemantauan kualiti bekalan air, pemusnahan tempat pembiakan nyamuk dan sebagainya bagi mencegah penularan penyakit berjangkit.