
Fahmi Abdul Moin berkata, walaupun tiada sesiapa yang didakwa mengikut mana-mana undang-undang kanun, pihak pendakwaan boleh memohon kepada hakim Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 41 Akta SPRM supaya harta itu dilucut hak.
“Hakim kemudiannya akan mengeluarkan warta memanggil mana-mana pihak ketiga yang mempunyai kepentingan hadir ke mahkamah untuk menunjukkan mengapa harta itu tidak patut dilucut hak,” kata bekas timbalan pendakwa raya Bank Negara Malaysia itu.
Fahmi ditanya tempoh agensi penyiasat boleh membekukan aset alih dan tak alih sementara siasatan bawah akta tersebut dijalankan.
Beliau berkata, Akta SPRM lebih drakonian berbanding Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla) apabila melibatkan rampasan harta tanpa pendakwaan.
Amla benar sitaan sehingga 12 bulan
Fahmi berkata, Akta SPRM membenarkan hak ke atas harta itu dilucutkan jika Daim atau sesiapa yang dikaitkan dengan harta itu berjaya didakwa.
“Sekiranya terdapat kesalahan predikat diutamakan, dan jika pihak pendakwaan memperoleh sabitan, maka hak ke atas harta itu boleh dilucutkan,” katanya kepada FMT.
Minggu lepas, dilaporkan bahawa Menara Ilham disita mengikut Seksyen 38(1) Akta SPRM sementara siasatan dijalankan.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib, ketua pengarah tanah dan galian di Kuala Lumpur diarah menyita harta itu dalam notis bertarikh 18 Dis.
Mana-mana individu yang ingkar notis itu boleh disabitkan kesalahan dan didenda tidak melebihi dua kali ganda nilai harta itu, atau RM50,000, mana-mana lebih tinggi, dan dipenjara tidak lebih dua tahun.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mendedahkan bahawa pihaknya sedang menyiasat Daim, yang juga bekas menteri kewangan, atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram, susulan penyitaan bangunan pencakar langit 60 tingkat itu.
Azam berkata, beberapa aset lain milik Daim dan keluarganya juga mungkin disita, berikutan kegagalan menjelaskan sumber dana yang digunakan untuk pembeliannya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan sebarang motif di sebalik penyitaan bangunan itu dengan berkata, langkah itu menunjukkan bahawa agensi antirasuah itu akan menyiasat sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang mahupun kedudukan mereka.
Pada Khamis, Daim membidas Anwar dan SPRM berhubung siasatan tersebut, yang disifatkannya sebagai “pemburuan”.
Dalam kenyataan di AstroAwani, Daim mendakwa, beliau tidak dimaklumkan mengenai kesalahan yang didakwa dilakukannya. Beliau juga mendakwa ada “usaha terancang” untuk memburuk-burukkan dirinya, dengan mengeluarkan maklumat salah dan “sindiran tidak berasas”.