Polis siasat dakwaan salah guna dana publisiti kerajaan RM700 juta sejak 2020

Polis siasat dakwaan salah guna dana publisiti kerajaan RM700 juta sejak 2020

Media melaporkan Putrajaya membelanjakan sehingga RM700 juta untuk pengiklanan, promosi dan publisiti menghebahkan agenda kerajaan bagi 2020 hingga 2022.

Ketua Polis Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata siasatan akan dijalankan, termasuk menghubungi Kementerian Kewangan untuk mendapatkan penjelasan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis menerima laporan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana RM700 juta oleh dua kerajaan terdahulu untuk iklan dan publisiti menghebahkan agenda kerajaan dari 2020 hingga 2022.

Ketua Polis Wangsa Maju, Ashari Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu hari ini.

“Kita akan membuat siasatan, termasuk menghubungi Kementerian Kewangan untuk mendapatkan penjelasan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Umno, Lokman Noor Adam berkata, pegawainya membuat laporan berhubung perkara berkenaan di Balai Polis Setapak kira-kira 2 petang tadi.

“Perbelanjaan tersebut besar…kita (rakyat) mahu tahu ke mana perginya perbelanjaan RM700 juta, ada sumber mendakwa ada penyalahgunaan kuasa melibatkan bekas petugas perdana menteri sebelum ini.

“Kami mahu polis menyiasat perkara ini dan diikuti siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Media sebelum ini melaporkan Putrajaya membelanjakan sehingga RM700 juta untuk kerja pengiklanan, promosi dan publisiti menghebahkan agenda kerajaan bagi 2020 hingga 2022.

Perbelanjaan dua pentadbiran terdahulu bagi menguar-uarkan pencapaian dan usaha kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.