Tubuh pasukan petugas siasat kes pekerja asing dakwa ditipu, kata Suhakam

Tubuh pasukan petugas siasat kes pekerja asing dakwa ditipu, kata Suhakam

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia berkata tindakan mesti diambil jika 171 pekerja asing itu telah ditipu oleh ejen pengambilan.

Suhakam berkata sistem pemantauan pekerja asing perlu diperkukuh untuk menjaga keadaan kerja.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan menubuhkan pasukan petugas peringkat tertinggi untuk menyiasat potensi salah laku dalam kes 171 pekerja asing yang didakwa ditipu oleh ejen pengambilan.

Ia berkata ia bagi memudahkan penyiasatan yang teliti dan telus dan mengenal pasti kelemahan dan tindakan yang perlu disyorkan terhadap mereka yang terlibat dalam “proses pemerdagangan manusia yang mengeksploitasi itu”.

Dalam satu kenyataan, Suhakam turut menyelar sistem pengambilan pekerja asing kerajaan sebagai “perhambaan moden yang sah dan pemerdagangan manusia” dan menggesa agar cadangan yang diberikan dalam laporan oleh Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing dapat dilaksanakan.

Laporan yang kini telah dinyahklasifikasi mencadangkan bahawa penggubalan dasar mengenai pengurusan pekerja asing seharusnya diletakkan di bawah Kementerian Sumber Manusia dan bukan dibahagikan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Laporan itu juga berkata Kementerian Sumber Manusia harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengawasan dan penguatkuasaan pematuhan industri terhadap undang-undang pekerjaan Malaysia dan konsistensi dengan norma dan amalan antarabangsa.

Suhakam berkata sistem pemantauan pekerja asing perlu diperkukuh untuk menjaga keadaan kerja dan kerjasama dengan negara asal mereka diperlukan untuk mewujudkan laluan migrasi yang selamat.

Pada 25 Dis, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kementeriannya akan membantu pekerja asing yang didakwa ditipu oleh ejen mereka, berdasarkan “atas dasar kemanusiaan”.

Dalam video tular, pekerja Bangladesh itu dilihat berarak menuju ke balai polis Bayu Damai di Pengerang, Johor untuk membuat laporan terhadap ejen itu kerana tidak memberikan mereka pekerjaan yang dijanjikan.

Mereka kemudiannya ditahan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.