Peruntukan: Pembangkang tetap enggan berunding, walau dilanda banjir

Peruntukan: Pembangkang tetap enggan berunding, walau dilanda banjir

Fadhli Shaari berkata kenapa peruntukan tidak boleh diberi tanpa rundingan.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi semalam mengumumkan sejumlah dana diperuntukkan kepada semua negeri yang dijangka mengalami bencana banjir. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen pembangkang tetap enggan berunding dengan kerajaan berhubung peruntukan wakil rakyat, meskipun terpaksa keluar duit sendiri untuk bantu rakyat di kawasan yang dilanda banjir.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berkata kerajaan perlu salur peruntukan tanpa perlu pembangkang menuruti syarat-syarat tertentu.

“Kenapa tak boleh ambil contoh kerajaan Kedah, Kelantan, dan Perlis yang tak memerlukan rundingan? Mereka boleh bagi sahaja kepada pembangkang. Itu isunya.

“Kalau nak bagi itu, bagi sahaja kenapa perlu berunding,” tegasnya kepada FMT.

Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor turut menolak rundingan meskipun berhadapan kesukaran membantu rakyat ketika banjir.

“Kita tak boleh bincang dengan kerajaan kerana kerajaan yang ambil kesempatan. Mereka berpolitik… nak kena setuju itu ini. Kalau betul untuk rakyat, beri sahaja duit.

“Kita pun tahu dosa pahala, kita bukan nak guna untuk kita… kalau tak percaya kita tak apalah, kita dah bersumpah. Kalau kamu bagi duit tu memang sampai ke rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjelaskan bahawa perkara yang dibangkitkan oleh pembangkang ialah mengenai peruntukan Ahli Parlimen untuk memohon wang bagi tujuan-tujuan politik wakil rakyat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata peruntukan akan disalurkan jika mereka bersedia berunding dengan kerajaan, seperti ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Whip Perikatan Nasional Takiyuddin Hassan dilapor berkata pihaknya akan menghentikan rundingan bagi mendapatkan peruntukan, kerana diminta supaya pembangkang menulis surat memberikan jaminan tertentu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi mengumumkan sejumlah dana diperuntukkan kepada semua negeri yang dijangka mengalami bencana banjir, dan semua kementerian diarah memberi bantuan tanpa mengira fahaman politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.