Miliki gambar lucah, penjual baju dalam didenda RM3,000

Miliki gambar lucah, penjual baju dalam didenda RM3,000

Dia didakwa memiliki gambar lucah dalam komputer riba dan telefon bimbitnya pada Mei lepas.

Seorang penjual baju dalam talian didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana memiliki gambar lucah dalam komputer riba dan telefon bimbitnya.
KUALA LUMPUR:
Seorang penjual baju dalam talian didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki gambar lucah dalam komputer riba dan telefon bimbitnya, Mei lepas.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu ke atas Wong Yi Hang, 32, yang mengaku bersalah memiliki gambar lucah dalam sebuah komputer riba dan lapan telefon bimbitnya di sebuah unit kondominium di Taman Kobena, Cheras di sini pada 4.30 petang, 22 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya dia gagal membayar denda tersebut. Dia membayar denda berkenaan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Nom Phot Prackdit memohon hukuman setimpal sebagai memberi pengajaran kepada tertuduh.

Peguam Ashraf Fahmi Abdul Aziz yang mewakili Yi Hang memohon hukuman denda paling minimum atas alasan, ia merupakan kesalahan kali pertama anak guamnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.