Kumpulan pendidikan tak senada ‘Pendatang’ ditayang di sekolah

Kumpulan pendidikan tak senada ‘Pendatang’ ditayang di sekolah

PAGE berkata, perpaduan 'terlalu abstrak' untuk dijelaskan guru, manakala Magpie mengalu-alukan sebarang langkah untuk memupuk nilai itu.

‘Pendatang’ meneroka akibat kebencian tidak terkawal antara kaum di Malaysia. (Gambar Kuman Pictures)
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan pendidikan menolak cadangan menayang sebuah filem tempatan mengenai hubungan kaum di sekolah atas alasan kontroversi Minggu Solidariti Palestin yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan baru-baru ini.

Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim berkata, Minggu Solidariti Palestin yang diadakan ketika perang di Gaza menampilkan beberapa “unsur ekstremis” sehingga menyebabkan perdana menteri meminta kawalan lebih baik terhadap program sedemikian.

Justeru katanya, ada pengajaran yang boleh diambil daripada kontroversi pada Oktober lalu itu.

Susulan gesaan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional, Kamil Othman untuk “Pendatang” ditayangkan di sekolah, Azimah berkata, perpaduan perlu digalakkan, tetapi topik itu “terlalu kabur dan abstrak” untuk dijelaskan guru.

“Ada kemungkinan usaha itu membawa kesan sebaliknya dan menyebabkan lebih banyak kemudaratan berbanding kebaikan,” katanya kepada FMT.

“Pendatang” ialah filem distopia berbahasa Kantonis yang meneroka kesan kebencian tidak terkawal antara kaum di Malaysia, yang boleh ditonton di YouTube untuk mengelakkan penapisan.

Filem ini berlatarkan masa depan di mana Akta Pengasingan membahagikan kumpulan etnik kepada kawasan yang dipisahkan dan dikawal secara ketat.

Plot itu memfokuskan sebuah keluarga Cina diarahkan berpindah ke rumah kayu yang dahulunya dimiliki orang Melayu di kawasan luar bandar selepas melakukan kesalahan lalu lintas.

Azimah berkata, lebih baik membiarkan ibu bapa yang menentukan sama ada anak mereka patut menonton filem itu di rumah.

Tetapi, Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) mengalu-alukan cadangan Kamil untuk mana-mana filem yang memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pengerusinya, Mak Chee Kin bagaimanapun berkata, filem itu perlu ditayangkan dengan kehadiran guru “atau ibu bapa”.

Katanya, guru perlu mengadakan perbincangan dan menjelaskan jalan ceritanya serta menekankan pengajaran yang boleh dipelajari bagi memastikan pelajar tidak tersalah anggap dengan mesej filem itu.

“Saya masih berharap kita dapat kembali ke Malaysia asal, di mana semua masyarakat bebas berinteraksi, bermain dan makan bersama semula.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.