Banjir: Pekebun sawit Paitan hilang pendapatan mohon bantuan

Banjir: Pekebun sawit Paitan hilang pendapatan mohon bantuan

Pekebun berkata kebun masih digenangi air dan dijangka akan mengambil masa sehingga dua minggu untuk kering sepenuhnya.

Kebun sawit yang digenangi air menyukarkan pekebun mengeluarkan hasil tanaman. (Gambar Bernama)
PAITAN:
Penduduk Kampung Rancangan Cocos, yang terjejas banjir selama tiga hari sejak Selasa lepas, memohon bantuan sewajarnya daripada kerajaan berikutan hasil pertanian mereka rosak akibat bencana banjir yang melanda daerah itu.

Rata-rata penduduk yang mengusahakan kelapa sawit berdepan keadaan kebun yang masih digenangi air sehingga menyukarkan mereka masuk untuk mengeluarkan hasil tanaman.

Seorang pekebun, Rothman Jiha, 65, berkata kawasan yang dinaiki air akan mengambil masa sehingga dua minggu untuk kering sepenuhnya.

“Biasanya apabila banjir, longkang akan tersumbat dan menyukarkan pengaliran keluar air bertakung,” katanya kepada pemberita.

Rothman antara 31 penduduk kampung yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir susulan hujan berterusan sejak Selasa lepas di daerah itu.

Semalam, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah memaklumkan semua PPS di Paitan ditutup dan penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Poplin Chinin, 73, pula berkata dia hilang pendapatan selepas banjir melanda kerana tiada orang sanggup masuk ke kebunnya untuk mengambil buah sawit walaupun dia sanggup bayar upah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.