Mat Sabu tak ditolak ahli Amanah, kata ketua Pemuda

Mat Sabu tak ditolak ahli Amanah, kata ketua Pemuda

Hasbie Muda berkata walaupun tidak mendapat undi tertinggi, Mohamad Sabu dipilih oleh 27 jawatankuasa pimpinan nasional.

Hasbie Muda berkata perkara paling penting Mohamad Sabu dipilih sebagai presiden oleh 27 jawatankuasa pimpinan nasional.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda menolak dakwaan kegagalan presiden Mohamad Sabu mendapat undi tertinggi pada pemilihan minggu lalu sebagai isyarat penolakan akar umbi serta desakan perubahan kepimpinan.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata persoalan itu tidak berbangkit dan perkara paling penting menteri pertanian dan keterjaminan makanan terbabit menduduki 27 kerusi jawatankuasa pimpinan nasional.

Menurutnya, jawatankuasa itu kemudiannya memilih Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu untuk menjadi presiden yang dibuat mengikut prosedur tetapi berhati-hati atas semangat musyawarah tinggi.

“Tak betul nak kata bila presiden (Mohamad) dapat tempat kelapan bermakna itu isyarat Amanah perlu ada ketua baharu, lainlah kalau beliau tak termasuk dalam kelompok 27 jawatankuasa pimpinan nasional.

“Undi tertinggi atau rendah tak tentukan siapa jadi presiden, itu cuma isyarat penerimaan. Paling penting 27 yang menang bermesyuarat dan buat keputusan memilih barisan pimpinan,” katanya mengulas kritikan pemilihan Mohamad sebagai peneraju parti itu.

Pada pemilihan Ahad lalu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad memperolehi undi tertinggi iaitu sebanyak 900 undi, mengatasi Mohamad dengan 613 undi untuk menduduki tangga kelapan, daripada 27 calon terpilih.

Mohamad bagaimanapun dipilih semula sebagai presiden manakala Mujahid Yusof yang menduduki tempat keempat dilantik timbalan presiden manakala barisan naib presiden membabitkan Dzulkefly, Dr Siti Mariah Mahmud dan Adly Zahari.

Difahamkan, pemilihan itu menyaksikan Amanah berpecah kepada dua kem iaitu penyokong Mohamad dan satu lagi menyokong Mujahid.

Hasbie turut menggesa semua ahli menerima keputusan telah dibuat dan fokus kekuatan parti dalam menarik sokongan pengundi pada PRU akan datang.

“Semua pihak baik dalam atau luar parti perlu ‘move on’ dan kuatkan Amanah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.