
Menurut Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kelantan kekal mencatatkan mangsa banjir paling ramai, iaitu 21,377 orang yang ditempatkan di 68 PPS di lima daerah, meningkat daripada 19,423 orang pada 8 malam tadi.
Sebanyak 37 PPS dibuka di Pasir Mas yang menempatkan 18,289 mangsa; 19 di Kuala Krai (1,136 mangsa); masing-masing lima PPS di Tanah Merah (327 mangsa) dan Tumpat (1,507 mangsa); serta 118 mangsa berlindung di dua PPS di Gua Musang setakat 6 pagi ini.
Di Terengganu, jumlah mangsa meningkat kepada 6,289 orang yang berlindung di 59 PPS pagi ini, berbanding 5,983 orang di 60 PPS malam tadi. Daerah terjejas meliputi Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.
Pahang turut mencatatkan peningkatan jumlah mangsa pagi ini kepada 214 orang yang berlindung di lima PPS di Jerantut, Kuantan, Lipis dan Cameron Highlands, berbanding 206 mangsa malam tadi.
Di Sabah, 31 mangsa ditempatkan di dua PPS di Pitas setakat 6 pagi ini, meningkat sedikit daripada 30 orang pada 8 malam tadi.
Sementara itu, di Johor, jumlah mangsa tidak berubah dengan 121 mangsa masih berlindung di tiga PPS di daerah Mersing dan Segamat.
Menurut tinjauan Jabatan Pengairan dan Saliran, empat sungai di Kelantan, iaitu Sungai Kelantan Pasir Mas, Sungai Golok Tumpat, Sungai Golok Pasir Mas, Sungai Kelantan Kota Bharu, berada pada paras bahaya.
Di Terengganu pula, tiga sungai merekodkan paras bahaya, iaitu Sungai Kemaman, Sungai Dungun dan Sungai Terengganu.