Enggan hakis sokongan Melayu, Umno mungkin tolak tubuh kerajaan perpaduan Johor

Enggan hakis sokongan Melayu, Umno mungkin tolak tubuh kerajaan perpaduan Johor

Azmi Hassan berkata Umno Johor tidak perlu melayani tuntutan penubuhan kerajaan perpaduan kerana kedudukannya masih kuat.

BN dan PH bekerjasama pada PRK Pulai di Johor walaupun tiada kerajaan perpaduan di negeri itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemerhati politik menjangkakan Umno Johor tidak akan melayani tekanan daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) supaya menimbangkan penubuhan kerajaan perpaduan peringkat negeri.

Ini kerana, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata pengaruh Umno yang semakin merosot di peringkat pusat susulan kerjasama dengan PH mungkin menjadi halangan kepada pembentukan “perkahwinan campur itu”.

“Apa yang berlaku di nasional itu tidak beri kelebihan kepada Umno sebenarnya… malah beri mudarat kepada Umno tentang keyakinan pengundi Melayu terhadap Umno itu sendiri.

“Jadi saya tak menjangkakan Umno Johor akan melakukan mirip berlaku di atas (pusat),” katanya kepada FMT, mengulas cadangan perwakilan Amanah Johor baru-baru ini agar PH berada bersama dalam kepimpinan kerajaan negeri.

Azmi Hassan.

Zuhan Zain pada Kongres Amanah Nasional minggu lalu menggesa suatu isyarat dihantar supaya kerajaan perpaduan dibentuk di Johor dengan penyertaan PH di sebalik dominasi BN di DUN dengan 40 kerusi.

Tambah Azmi, Umno Johor tidak perlu melayani permintaan itu kerana pentadbiran Onn Hafiz Ghazi mempunyai sokongan kuat berbanding negeri lain antaranya Perak yang memerlukan gabungan parti politik berbincang membentuk kerajaan.

“Kedudukan mereka begitu kuat dengan 40 kerusi DUN, berbanding PH hanya 12 kerusi. “Saya tak nampak mengapa Umno Johor perlu bertolak ansur dalam perkara ini untuk menurut apa yang berlaku di peringkat nasional,” katanya.

Katanya, kerjasama di peringkat pusat mahupun negeri boleh dilaksanakan dalam pelbagai saluran, namun tidak sampai memerlukan rombakan kerajaan negeri.

“Tambahan, menteri besar (Onn Hafiz) juga sudah dilantik sebagai ketua Umno Johor menggantikan Khaled Nordin, ini menunjukkan kerajaan negeri yang ada kukuh.”

Mazlan Ali.

Sementara itu, Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata pembentukan kerajaan perpaduan di Johor berisiko mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan akar umbi Umno kerana perlu memberi laluan kepada PH, di sebalik kemenangan besarnya.

“Bila ada kerjasama rombakan besar perlu dibuat termasuk jawatan di peringkat bawahan, ini boleh cetuskan rasa tak puas hati.

“Mungkin kerajaan perpaduan Johor boleh dibuat selepas PRN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.