Bukan kaut untung, sistem Padu tak libat belanja tambahan, kata Rafizi

Bukan kaut untung, sistem Padu tak libat belanja tambahan, kata Rafizi

Sistem pangkalan data itu dibangunkan sepenuhnya penjawat awam menggunakan peruntukan dan infrastruktur sedia ada, kata menteri ekonomi.

Menurut Rafizi Ramli, sistem Padu melibatkan tiga agensi utama, iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan dan Mampu.
KUALA LUMPUR:
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menafikan pembangunan Pangkalan Data Utama (Padu) sebagai membazir dan dibangunkan semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Rafizi berkata, Padu dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam menggunakan peruntukan dan infrastruktur sedia ada, tanpa perlu membuka tender baharu kepada pihak swasta.

“Bagi saya, padunya Padu ini kerana ia melibatkan keseluruhan kepakaran dan tenaga penjawat awam, bukan perunding dan kontraktor luar…

“Justeru ia tidak melibatkan perbelanjaan tambahan seperti yang selalu berlaku setiap kali ada sistem baru yang diperkenalkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sistem itu melibatkan tiga agensi utama, iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu).

Tambahnya, sistem itu dibangunkan dalam tempoh masa yang sangat singkat, iaitu tujuh bulan dari Mei hingga Dis 2023, sekali gus mengatasi pelaksanaan projek-projek sistem yang dikendalikan oleh pihak swasta sebelum ini.

“Padu tidak akan melibatkan pembayaran setiap tahun kepada penyedia sistem pihak swasta seperti yang selalu berlaku kerana ia dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam dan milik kerajaan sepenuhnya,” katanya.

Padu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2 Jan depan.

Sistem itu akan dibuka selama tiga bulan untuk membolehkan semua warganegara mengesahkan dan mengemaskini data sosioekonomi mereka bertujuan memudahkan penyaluran bantuan termasuk subsidi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.