Pendakwah bebas saman 4 individu termasuk pegawai Najib, tuntut RM5 juta

Pendakwah bebas saman 4 individu termasuk pegawai Najib, tuntut RM5 juta

Ahmad Husam Muhamad Baderudin mendakwa defenden memfitnah sebagai penipu dan menyalahgunakan wang derma orang ramai.

Ahmad Husam Muhamad Baderudin turut menuntut defenden memohon maaf dan tidak mengulangi fitnah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pendakwah bebas Ahmad Husam Muhamad Baderudin memfailkan saman fitnah RM5 juta terhadap empat individu termasuk pegawai khas bekas perdana menteri Najib Razak.

Empat penama berkenaan termasuk pegawai khas kepada Najib, Mukhlis Maghribi serta bekas presiden parti Kita Zamil Ibrahim.

Dua lagi dikenali Khairul Amzar Ku Ahmad dan Fairus Shaari yang didakwa bersekongkol dengan Mukhlis serta Zamil.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar melalui firma guaman Tetuan Zain Megat & Murad, pada 14 Dis lalu.

Peguam Muhammad Asyraf Abd Aziz yang mewakili Ahmad Husam berkata semua defenden tidak memberi maklum balas terhadap notis tuntutan pada 13 Nov lalu.

Katanya, Mukhlis didakwa telah membuat hantaran di media sosial yang mengaitkan Ahmad Husam sebagai penipu manakala Zamil pula menuduhnya sebagai individu yang menyalahgunakan wang derma orang ramai dan zakat.

Asyraf berkata anak guamnya menafikan fitnah itu dan menyifatkannya sebagai niat jahat untuk memberi gambaran negatif terhadapnya.

Dalam tuntutan itu juga, Ahmad Husam turut menuntut defendan memohon maaf dan tidak mengulangi kenyataan fitnah dan memadam hantaran berkaitan di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.