Nadma mahu jawatankuasa pengurusan bencana Pahang, Johor diaktifkan

Nadma mahu jawatankuasa pengurusan bencana Pahang, Johor diaktifkan

Agensi Pengurusan Bencana Negara berkata kesiapsiagaan di Pahang dan Johor perlu ditingkatkan susulan amaran hujan tahap waspada.

MetMalaysia memaklumkan hujan berterusan dijangka berlaku hingga esok di Pahang dan Johor di beberapa kawasan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mahu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah (JPBN/JPBD) di Pahang dan Johor diaktifkan berikutan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan.

Nadma dalam kenyataan memaklumkan langkah meningkatkan kesiapsiagaan perlu bagi menghadapi bencana banjir yang diramal berlaku di beberapa kawasan di kedua-dua negeri berkenaan terutama di kawasan berisiko tinggi.

“Jawatankuasa terbabit juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai aset pengoperasian mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Nadma memaklumkan pihaknya melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi.

NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan alamat e-mel [email protected].

Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan hujan berterusan dijangka berlaku hingga esok di Pahang melibatkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin, manakala di Johor membabitkan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi serta Johor Bahru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.