Galak pelancongan domestik dengan rebat cukai, kata pemain industri

Galak pelancongan domestik dengan rebat cukai, kata pemain industri

Insentif cukai akan memberi industri pelancongan domestik kelebihan daya saing, menurut presiden MyBHA.

Seni tradisi Malaysia, seperti cantingan batik, wajar dihidupkan semula sebagai pengalaman kebudayaan yang unik bagi pelancong tempatan dan asing. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan harus memperkenalkan insentif rebat cukai untuk merangsang pelancongan domestik, kata sebuah persatuan hotel, susulan laporan bahawa lebih ramai rakyat Malaysia bercuti di Thailand baru-baru ini.

Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Sri Ganesh Michiel berkata, kerajaan terlepas peluang menggalakkan pelancongan domestik dengan menyediakan insentif sedemikian dalam Belanjawan 2024.

Beliau mengaitkan lonjakan rakyat Malaysia melancong ke Thailand dengan kemampumilikan kegiatan pelancongan di negara itu. Pelancong Malaysia boleh pergi ke Thailand dengan menaiki kereta api atau kenderaan persendirian tanpa kos yang besar, katanya.

“Pelancong Singapura datang ke Malaysia kerana mata wang Singapura lebih tinggi dan kukuh. Mereka mempunyai kuasa beli yang lebih baik di sini.

“Sama juga bagi rakyat Malaysia yang pergi ke Thailand, kerana mata wang kita lebih kukuh, menjadikannya destinasi pelancongan pilihan,” kata Sri Ganesh kepada FMT.

Beliau berkata, insentif cukai akan memberi industri pelancongan domestik kelebihan daya saing.

Sri Ganesh berkata demikian mengulas pendedahan Jabatan Imigresen Kedah bahawa hampir 100,000 pelancong Malaysia mengunjungi Thailand baru-baru ini, dengan kompleks imigresen Bukit Kayu Hitam memproses lebih 78,000 pelancong keluar dalam tempoh empat hari sahaja.

Presiden Majlis Pemandu Pelancong Malaysia Jimmy Leong, yang menjangkakan trend itu akan berterusan berkata, tarikan Thailand, seperti makanan yang unik dan berharga mampu milik di Hat Yai, mendorong rakyat Malaysia merentas sempadan.

Leong berkata, lonjakan semasa akan menjejaskan sektor pelancongan Malaysia, dan pemain industri tempatan harus menambah baik perkhidmatan dan bersaing agar rakyat Malaysia lebih cenderung berbelanja di negara sendiri berbanding Thailand.

Sementara itu, Pengerusi Consortium Inbound Tourism Alliance Uzaidi Udanis berkata, jumlah besar rakyat Malaysia melancong ke Thailand bukan sesuatu yang perlu dibimbangi.

“Rakyat Malaysia suka melancong. Hanya kerana segelintir melancong ke Thailand, bukanlah bermakna pelancongan domestik tidak hidup,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, di Malaysia sendiri, tempahan bilik hotel di beberapa kawasan melonjak pada musim cuti.

Uzaidi berkata, penduduk tempatan dan agensi pelancongan mesti bekerjasama untuk menambah nilai kepada pelancongan Malaysia.

Beliau mencadangkan agar seni tradisi Malaysia, terutamanya silat, wayang kulit, kuda kepang dan cantingan batik, dihidupkan semula sebagai pengalaman kebudayaan yang unik bagi pelancong tempatan dan asing.

“Pelancong moden lebih mengutamakan pengalaman berbanding destinasi. Mereka mencari keunikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.