
Langkah itu dibuat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat, kata TNB dalam kenyataan di Facebook.
Kawasan-kawasan yang terjejas ekoran penutupan bekalan elektrik tersebut termasuk Banggol Kulim; Kubang Rambutan; Degong; Sekolah Kok Pauh; Padang Nyior; Tanjung Erat; Sekolah Lubuk Setol; Air Teniat; Gual Tambun; Balai Polis Lubok Setol; Pondok Gual Dalam; dan Lubuk Setol.
Selain itu, Mountain Ore, Kampung Rahmat, Sekolah Kampung Rahmat; dan Limau Purut turut tidak mendapat bekalan elektrik akibat penutupan pencawang terbabit.
TNB memaklumkan, sekiranya banjir semakin buruk, berisiko serta membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik.
Setakat 9 pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Kelantan dicatatkan seramai 13,199 orang daripada 4,058 keluarga yang berteduh di 86 pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut laman web rasmi Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran, paras air Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Kuala Besar melebihi tahap bahaya dengan trend menaik, sementara paras air di empat sungai utama lain melebihi tahap amaran.