Tak patut pindah Mitra daripada JPM, kata kumpulan graduan

Tak patut pindah Mitra daripada JPM, kata kumpulan graduan

Dikhuatiri keputusan itu akan menyebabkan pelaksanaan sesuatu perkara, sekalipun mendesak, tertangguh kerana memerlukan kelulusan tambahan.

Pada Sabtu, Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Mitra akan diletakkan semula bawah Kementerian Perpaduan Negara, sambil memberi jaminan beliau akan terus memantau unit khas itu.
PETALING JAYA:
Alumni India sebuah universiti tempatan mengkritik keputusan memindahkan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan berkata, ia hanya akan menambah lapisan kelulusan bagi sesuatu perkara sebelum sampai kepada perhatian perdana menteri.

Graduan Kaum India Prihatin Universiti Malaya (Cumig) berkata, langkah ini akan menyebabkan kelewatan dalam pelaksanaan program yang bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat itu.

“Penting bagi Mitra untuk berada bawah bidang kuasa JPM jika kerajaan serius dalam menangani masalah masyarakat India seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia 2017-2030 (MIB),” kata jurucakap Cumig R Thanasegar dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Salinan surat itu turut dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof, serta Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.

Pada Sabtu, Anwar berkata, Mitra akan diletakkan semula bawah Kementerian Perpaduan Negara, sambil memberi jaminan beliau akan terus memantau unit khas itu.

Thanasegar juga berkata, MIB perlu dipantau rapi agar ia dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa ketirisan. Sehubungan itu, Cumig turut mencadangkan agar satu lembaga penasihat yang diketuai oleh ketua setiausaha kerajaan ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan pelan tindakan itu.

“Kami mencadangkan lembaga ini terdiri daripada ahli profesional bebas, ahli akademik dan penjawat awam yang berkaliber dalam kalangan masyarakat India untuk menunjukkan komitmen serius kerajaan dalam memartabatkan masyarakat (India),” katanya dalam surat yang dilihat oleh FMT itu.

Beliau berkata, pemindahan Mitra ke Kementerian Perpaduan Negara akan melemahkan struktur operasinya dan membantutkan kemajuan pelaksanaannya. Ini akan memberikan gambaran negatif terhadap komitmen kerajaan ke arah menaikkan taraf sosioekonomi masyarakat India, tambahnya.

“Ini bermakna semua cadangan perlu melalui menteri (perpaduan) dan setiausaha agungnya sebelum sampai kepada perhatian perdana menteri.

“Akibatnya, perkara yang memerlukan perhatian segera juga akan tertangguh kerana memerlukan kelulusan tambahan,” katanya.

Dalam hal lain, Cumig menyeru kerajaan agar bersikap telus berhubung peruntukan RM50 juta bawah Belanjawan 2024 untuk kuil dan gereja Hindu dan Buddha, dengan menyatakan peruntukan bagi setiap satunya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.