
Pemangku Ketua Polis Gombak Noor Ariffin Nasir berkata, suspek-suspek berusia antara 19 hingga 45 tahun itu akan direman selama tujuh hari.
“Semua yang terlibat telah berjaya ditangkap dalam tempoh 24 jam,” katanya kepada FMT.
Kesemua tangkapan dibuat semalam di tiga lokasi berbeza, dengan tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki dan dua wanita di pangsapuri Desa Aman Puri.
Dua lagi lelaki ditahan di Puncak Alam dan Sungai Choh pada sebelah petang.
Ditanya sama ada teman wanita mangsa terlibat, Ariffin menafikannya.
Tambahnya, spekulasi bahawa pembunuhan itu berkait video lucah membabitkan teman wanita mangsa juga tidak benar.
Ariffin berkata, bedah siasat ke atas mangsa selesai semalam, namun punca kematian belum disahkan kerana menunggu ujian makmal.
“Ada kesan cedera luka dan lebam di kepala dan seluruh badan,” katanya merujuk kepada hasil bedah siasat tersebut.
Pada Sabtu, FMT melaporkan bahawa mayat seorang lelaki ditemukan tertanam di belakang sebuah rumah di Sungai Choh.
Dipercayai berlaku pertengkaran antara dua lelaki di rumah tersebut sehingga menyebabkan salah seorang daripada mereka maut.
Pada hari sama, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 29 dan 33 tahun serta seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian itu.