Masih trauma, penduduk Sri Muda, Hulu Langat berjaga-jaga hadapi banjir besar

Masih trauma, penduduk Sri Muda, Hulu Langat berjaga-jaga hadapi banjir besar

Penduduk kali ini lebih bersedia dan berjaga-jaga sekiranya hujan lebat mengakibatkan banjir seperti dua tahun lalu.

Banjir besar yang melanda Hulu Langat dan Taman Sri Muda pada 2021 masih menjadi igauan penduduk.
PETALING JAYA:
Banjir besar yang melanda Hulu Langat dan Taman Sri Muda pada 2021 masih menjadi igauan penduduk setiap kali tiba monsun yang membawa hujan lebat pada hujung tahun.

Dua kawasan itu terjejas teruk apabila dilanda banjir pada Disember dua tahun lalu, hingga mengakibatkan kematian dan kerugian berjuta ringgit.

Peniaga dari Hulu Langat, Zaini Muhammad Nuh, 55, berkata, dia mengambil masa empat bulan untuk memulakan kembali perniagaannya selepas mengalami kerugian mencecah RM150,000 apabila premis perniagaannya dilanda banjir.

“Semua orang trauma jika hujan. Peniaga rasa takut. Jika hujan waktu malam saya tidak boleh tidur, kita bimbang kejadian sama akan berulang,” kata wanita itu kepada FMT.

Pemilik gerai makanan, Zahra Abu Bakar, 60, berkata, perniagaannya turut terjejas dalam peristiwa itu namun bantuan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membolehkan perniagaannya kembali pulih.

“Jika hujan berlarutan sehingga sejam kami mula bimbang, saya akan tengok jika longkang penuh atau tidak. Bukan kami sahaja, semua orang juga rasa benda sama,” katanya yang menetap di Taman Sri Nanding.

Kali ini dia lebih bersedia kerana komuniti di sana menganjurkan latihan menghadapi banjir termasuk pelan pemindahan dan lokasi berkumpul yang sesuai.

Penduduk di Taman Sri Muda juga memulakan persediaan bagi menghadapi banjir, walaupun masih dirundung trauma.

Nazrin Roslin, 35, berkata penduduk mengalihkan kenderaan ke lokasi tinggi sekiranya hujan berlarutan.

Pihak berkuasa tempatan juga lebih bersedia dengan sistem amaran banjir.

Apabila berlaku hujan lebat, bomba dan Majlis Bandaraya Shah Alam bersiap sedia dengan bot di kawasan berhampiran sungai dan membuat pemantauan.

Devan Subramaniam mengenang ketika dia terpaksa makan makanan luput tarikh ketika bencana. Perabotnya juga musnah di samping kehilangan dokumen penting.

“Kali ini kami lebih bersedia, air naik sedikit sahaja kami boleh ambil dokumen penting dan pindah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.