Kes Covid-19 diramal turun Januari, kata Dzulkefly

Kes Covid-19 diramal turun Januari, kata Dzulkefly

Menteri kesihatan berkata apa sahaja langkah membendung jangkitan dibuat berdasarkan bukti bukan emosi.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, berkata penggunaan fasiliti kesihatan termasuk kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat Covid-19 masih terkawal.
KLANG:
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad meramalkan kes Covid-19 akan menunjukan penurunan mulai Januari.

“Ramalan model kita insya-Allah, Januari (Covid-19) akan turun,” kata pengarah strategik Amanah dalam ucapan penggulungan di Konvensyen Amanah Nasional 2023.

Dzulkefly berkata, beliau tidak akan terpengaruh desakan supaya mewajibkan pemakaian pelitup muka susulan peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Katanya, segala keputusan melibatkan perubahan besar dan drastik akan dibuat tertakluk bukti dan penilaian status semasa.

“Ada yang marah saya…kata apalah antiklimaks betul menteri ini. Kenapa tak boleh wajibkan pemakaian pelitup muka. Ia satu mengecewakan katanya.

“Saya tidak akan terpengaruh dengan dengan pendekatan emosi apa yang saya lakukan adalah tertakluk kepada bukti dan penilaian berdasarkan kepada sistem amaran awal, itulah pendekatan kami dan itu kita akan teruskan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata kes baru Covid-19 yang meningkat ketika ini tidak menggambarkan sebarang situasi cemas, berikutan penggunaan fasiliti kesihatan termasuk kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) masih terkawal.

Beliau berkata, rakyat tidak seharusnya panik dengan laporan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19, sebaliknya mengambil sikap untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak dijangkiti.

“Kita bukan lagi dalam ‘Covid War’. Kita sedang masuk fasa pandemik ke endemik. Jadi, tindakan kita berwajaran. Kita punyai sistem yang sistematik bukan hanya melihat pada angka,” katanya.

Pada sidang media sebelum ini, Dzulkefly memaklumkan KKM tidak bercadang melaksana sebarang sekatan termasuk perintah kawalan pergerakan (PKP) susulan peningkatan mendadak kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.