
Wong dari Sunway University, berkata “ketiadaan sebahagian besar segmen pengundi tersebut sudah cukup untuk membunuh PH di kerusi marginal”, sambil menambah penyelesaian kepada isu itu adalah mudah.
“Tunjuk empati dan bina kepercayaan. Kerajaan bekerja keras untuk menyakinkan orang Melayu. Buatlah perkara sama (kepada orang India). Jika kerajaan mampu buat separuh daripada itu pun, sudah banyak membantu meredakan kegusaran,” katanya.
Beberapa tokoh masyarakat India membangkitkan kebimbangan berhubung kurangnya menteri mewakili masyarakat Tamil dalam kerajaan selepas V Sivakumar digugurkan sebagai menteri sumber manusia dalam rombakan Jemaah Menteri, dua minggu lalu.
Satu-satunya menteri dari masyarakat India ketika ini adalah Menteri Digital Gobind Singh Deo, seorang Punjabi beragama Sikh. Bagaimanapun, ada tiga timbalan menteri Tamil – M Kulasegaran (undang-undang dan reformasi institusi), R Ramana (pembangunan usahawan dan koperasi), dan K Saraswathy (perpaduan negara).
Wong berkata, “isu mendalam berkait ketidakpercayaan masyarakat Tamil kepada PH”, selepas komponennya, DAP menggugurkan pemimpin popular seperti Charles Santiago (bekas Ahli Parlimen Klang) dan P Ramasamy (bekas Adun Perai) daripada mempertahankan kerusi masing-masing.
Katanya, ada segmen pengundi masyarakat Tamil membangkitkan persoalan sama ada pemimpin bukan daripada masyarakat itu mampu membela nasib mereka.
Beliau berkata, jika orang India mahu menteri mewakili masyarakat tamil, kerajaan sepatutnya mengekalkan Sivakumar atau melantik ahli politik muda, seperti Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer atau Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau.
Dalam pada itu, penganalisis politik Asrul Hadi Abdullah, berkata jika PH berterusan meminggirkan masyarakat India, pakatan itu akan kehilangan sokongan mereka, dan mungkin sebahagian tidak keluar mengundi.
Katanya, tiada satupun bermacam pelan tindakan masyarakat India sejak bertahun lamanya membuahkan hasil atau membawa manfaat signifikan. Lebih malang, tanpa menteri mewakili masyarakat Tamil, kelihatan perkara melibatkan kepentingan mereka tidak menjadi keutamaan.
“Jika Anwar tidak dapat menaruh kepercayaan kepada Ahli Parlimen sedia ada menggalas tanggungjawab, mungkin beliau boleh melantik seseorang di luar parti politik sebagai senator,” katanya.