P Pinang cadang naik tarif air, kata Chow

P Pinang cadang naik tarif air, kata Chow

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kadar semasa yang digunakan sejak 2015 perlu dinaikkan kerana negeri lain telah mula berbuat demikian.

Chow Kon Yeow berkata Pulau Pinang telah pun mengenakan tarif baharu untuk pengguna bukan domestik atau komersial, sejak tahun lepas.
BUTTERWORTH:
Kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengemukakan permohonan kepada Putrajaya untuk menaikkan tarif air bagi isi rumah, yang akan diumumkan tidak lama lagi, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Chow, yang juga pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), berkata negeri itu perlu mengenakan tarif air baharu, memandangkan negeri lain sudah mula berbuat demikian.

Pulau Pinang kini menggunakan kadar tarif domestik (isi rumah) yang telah dikenakan sejak 2015, manakala ia memperkenalkan tarif baharu untuk pengguna bukan domestik atau komersial, tahun lepas.

Menurut Chow, negeri itu perlu mengemukakan “pelan perniagaan” kepada pihak berkuasa persekutuan setiap tiga tahun mengenai anggaran kadar tarif yang akan dilaksanakan.

“Air yang dibekalkan (kepada pengguna di Pulau Pinang) mendapat subsidi yang besar. PBAPP telah membelanjakan lebih RM1 untuk merawat setiap 1,000 liter air tetapi hanya menjualnya pada harga sekitar RM0.30 seliter.

“Kami membelanjakan lebih RM100 juta setahun walaupun tidak menaikkan tarif (air),” kata Chow kepada pemberita selepas melancarkan Ekspo Perumahan dan Hartanah Mampu Milik negeri 2023 di Arena Butterworth, di sini.

Mengenai paip pecah di Sungai Perai pada 18 Dis, Chow berkata pengguna di beberapa bahagian daerah barat daya pulau Pulau Pinang, seperti Balik Pulau, masih memerlukan lori tangki air. Bekalan air di daerah itu dijangka pulih hari ini.

Terdahulu, ketua menteri mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga 31 Disember 2024. Ini bertujuan untuk memenuhi sasaran kerajaan negeri untuk membekalkan 220,000 rumah mampu milik kepada rakyat Pulau Pinang menjelang 2030.

Di bawah kempen ini, yang digelar HOC 3.0 Plus, kerajaan negeri akan menawarkan diskaun 10% untuk projek rumah mampu milik (RMM) berharga RM300,000 di Pulau Pinang dan RM250,000 di tanah besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.