
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata unit khas yang bertanggungjawab menangani pembangunan sosioekonomi masyarakat India itu kini boleh dipindahkan ke kementerian asal, selepas program dibetulkan agar lebih telus dan terus kepada golongan sasaran.
Jelasnya, masyarakat tak perlu bimbang kerana peraturan telah ditetapkan, peruntukan diluluskan, dan unit itu masih tertakluk kepada syarat-syarat ketat bagi mengelakkan salah guna kuasa atau penyelewengan.
“Saya tetap pantau,” katanya, lapor Bernama, pada dialog bersama media.
Mitra pada asalnya dikenali sebagai unit khas Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC) ditubuhkan pada 2014.
Ia dijenamakan semula pada 2018 dan pada Sept 2022 di bawah seliaan JPM.
Bulan lepas dilaporkan pengurusan Mitra menerima penarafan berisiko ‘rendah’ oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Khas Mitra, R Ramanan, dipetik sebagai berkata penarafan itu “permulaan baik” untuk unit yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, persepsi masyarakat terhadapnya tidak begitu baik susulan beberapa kes yang dibawa ke mahkamah.