
Katanya, rakyat sudah terbiasa dengan amalan ahli politik mengumumkan projek atau ‘buah tangan’ sebagai ‘bukti’ perancangan ekonomi.
“Ada yang suka bertepuk tangan menyebut projek-projek mega berpuluh bilion ringgit yang pernah diusahakan pentadbiran dahulu tanpa mengira beban hutang yang ditanggung mereka dan kini terpaksa ditangani kerajaan,” katanya di platform X.
Rafizi berkata beliau akan fokus pada reformasi jangka sederhana dan jangka panjang, serta menyelesaikan masalah pokok.
Beliau menarik perhatian kepada lima amalan yang pemerintah lalu gagal selesaikan, antaranya subsidi pukal yang diberikan tanpa mengira kaya atau miskin, pelancong dan pekerja asing menyebabkan tanggungan kos mencecah sekitar RM80 bilion setahun.
“Kedua, amalan berhutang dan menggagau apa-apa tabung yang ada asalkan kerajaan pada ketika itu boleh dilambung.
“Defisit yang berterusan tinggi, dividen dari Petronas yang diambil tinggi setiap tahun, membelanjakan tabung amanah rakyat tanpa ada rancangan untuk mengurangkan hutang negara,” katanya.
Tambahnya, pergantungan pada pekerja asing menyempitkan ruang pekerjaan untuk rakyat selain menyebabkan aliran keluar mata wang.
“Perangkap ekonomi nilai rendah turut menyebabkan peniaga mikro, kecil, dan sederhana bersaing sesama sendiri dalam pasaran setempat.
“Manakala pertumbuhan gaji pekerja yang tidak selari dengan kenaikan harga barang juga menyebabkan rakyat terdedah kepada risiko kenaikan kos sara hidup apabila gangguan bekalan berlaku,” katanya.
Pada 12 Disember lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melakukan rombakan Jemaah Menteri yang pertama sejak penubuhan kerajaan perpaduan, dalam usaha memperkukuhkan pentadbiran sesuai dengan tuntutan dan keperluan semasa.