Masih ada undang-undang larang pikat isteri orang, kata menteri

Masih ada undang-undang larang pikat isteri orang, kata menteri

Mohd Na’im Mokhtar berkata pemansuhan Seksyen 498 Kanun Keseksaan tidak menjejaskan peranan agensinya.

Mohd Na’im Mokhtar berkata ada beberapa undang-undang boleh digunakan untuk menjaga keharmonian rumah tangga. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perbuatan mengganggu keharmonian rumah tangga termasuk memikat isteri orang menjadi kesalahan di bawah mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 atau Akta 559, kata Mohd Na’im Mokhtar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata ia sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 36 mengenai kesalahan memujuk lari perempuan bersuami dan seksyen 37 mengenai kesalahan menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.

Menurutnya, selain itu ada seksyen 38 mengenai kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

“Peruntukan-peruntukan ini secara tidak langsung dapat menjamin keharmonian rumahtangga selaras dengan kehendak syarak,” katanya dalam kenyataan.

Justeru itu, katanya pemansuhan Seksyen 498 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Persekutuan pada 15 Dis lalu tidak menjejaskan peranan agensinya antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk terus melaksanakan program pengukuhan institusi keluarga.

Menurutnya, seluruh umat Islam terutama suami dan isteri juga diseru melaksanakan kewajipan masing-masing serta saling memperkukuh institusi keluarga.

“Semua pihak juga dipohon saling meningkatkan akhlak dalam pergaulan seharian agar sentiasa sejajar dengan pedoman ajaran agama Islam,” katanya.

Pada 15 Dis lalu, Mahkamah Persekutuan memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang berkaitan menjenayahkan perbuatan lelaki yang menggoda isteri orang, kerana ia tidak berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara berkata panel hakim berpendapat bahawa seksyen itu adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana ia mendiskriminasi secara tidak sah hanya atas alasan jantina, yang bertentangan dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

Panel itu membuat ketetapan berkenaan selepas membenarkan permohonan seorang ahli perniagaan untuk merujuk persoalan undang-undang berkenaan kepada Mahkamah Persekutuan, sama ada Seksyen 498 adalah tidak berperlembagaan kerana ia bercanggah dengan Perkara 8(1)(2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan kesaksamaan di sisi undang-undang dan diskriminasi jantina.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.