
Halim memfailkan saman itu pada Julai, untuk mendapatkan pampasan berkait pengambilan wajib kepentingan beliau dalam Renong Bhd oleh kerajaan, dan kehilangan haknya untuk menawarkan kepada umum saham-saham dalam UEM Malaysia Bhd.
Turut dinamakan sebagai defendan dalam saman terbabit ialah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Nor Mohamed Yakcop.
Kertas kausa diserahkan kepada defendan hari ini.
Dalam permohonan yang difailkan pada Isnin, Halim berkata Mahkamah Persekutuan mesti memutuskan sama ada tuntutan yang dikemukakan terhadap kerajaan yang didakwa melanggar kebebasan asasinya tertakluk pada had masa yang ditetapkan dalam Akta Had Masa atau Akta Pihak Berkuasa Awam dan Perlindungan.
Beliau juga mahu mahkamah tentukan sama ada doktrin “res judicata” terpakai justeru menghalangnya membawa tuntutan itu, atas sebab tindakan terdahulu berdasarkan fakta yang sama telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, walaupun ia tidak berkaitan dengan sebarang pelanggaran kebebasan asasinya.
Dalam afidavit sokongan yang difailkan pada hari yang sama, Halim mendakwa saman sebelum ini, yang berdasarkan kontrak atau penipuan, tertakluk pada had masa.
Bagaimanapun, Halim berkata tuntutannya sekarang berdasarkan fakta bahawa hak hartanya yang berharga di Renong telah diambil.
“Bebas daripada sebarang janji kontrak, saya dijamin pampasan oleh Perkara 13(2), Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Halim berkata kerajaan, Mahathir, dan Nor Mohamed tidak menafikan fakta yang dinyatakan dalam penyata tuntutannya sebelum pengambilan itu.
Menurut afidavitnya, defendan telah mengakui sebahagian besar penyata tuntutan itu.
“Pembelaan utama yang dibangkitkan oleh defendan adalah had dan ‘res judicata’. Defendan memfailkan permohonan untuk membatal atas dasar ini.
“Ringkasnya, mereka berhujah saya sepatutnya bangkitkan tuntutan mengenai pelanggaran perlembagaan dalam saman terdahulu, dan bahawa tuntutan saya di sini adalah dalam apa jua keadaan tertakluk pada had tempoh mengikut Akta Had Masa atau Akta Pihak Berkuasa Awam dan Perlindungan,” katanya .
Halim berhujah bahawa tiada had tempoh bagi tuntutan berkait pelanggaran hak-hak perlembagaan.
Beliau juga berkata tempoh had yang diperuntukkan di bawah Akta Pihak Berkuasa Awam dan Perlindungan juga tidak terpakai kerana kewajiban untuk membayar “pampasan yang mencukupi” terletak pada kerajaan dan bukan mana-mana agensinya.
Halim berkata keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai persoalan yang dibangkitkan adalah kepentingan awam dan akan menjadi panduan berguna, memandangkan tuntutan pelanggaran kebebasan asasi “semakin berleluasa”.
Beliau berkata ia juga akan membolehkan kes itu “diselesaikan dengan cepat” memandangkan dia dan dua defendan sudah “lanjut usia”.
Mahathir berumur 98 tahun, manakala Nor Mohamed 76 tahun. Halim berusia 70 tahun.
Saman Halim sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi 10 tahun lalu. Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 2014 dan Mahkamah Persekutuan enggan memberikan kebenaran untuk merayu pada tahun berikutnya.