Status Mitra bawah JPM akan diketahui dalam masa terdekat

Status Mitra bawah JPM akan diketahui dalam masa terdekat

Perdana menteri akan mengumumkan sama ada Mitra kekal bawah pentadbiran JPM atau sebaliknya.

Kerajaan menyediakan peruntukan menerusi Mitra bagi program keusahawanan masyarakat India.
KUALA LUMPUR:
Status Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) sama ada kekal di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau sebaliknya akan diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, R Ramanan, yang juga pengerusi Jawatankuasa Khas Mitra, berkata beliau akan menjalankan tugasnya sebagai pengerusi jawatankuasa khas itu seperti biasa sehingga ada pengumuman daripada perdana menteri.

“Memang perdana menteri akan buat satu pengumuman dalam masa terdekat, tunggu pengumuman beliau,” katanya mengulas khabar angin pentadbiran Mitra akan kembali di bawah Kementerian Perpaduan Negara, selepas lawatan kerja ke ibu oejabat Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun Nasional).

Selain itu, Ramanan berkata rakyat perlu mengambil peluang yang ditawarkan di Tekun Nasional untuk menjadi usahawan yang lebih berdaya saing.

“Untuk tahun ini sahaja, Tekun memberikan bantuan perniagaan kepada usahawan India sebanyak RM49 juta dengan jumlah keseluruhan bantuan perniagaan yang diberikan mencecah RM1 bilion menjelang akhir tahun ini.

“Ini satu pencapaian yang baik dengan jumlah pembiayaan meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.

Beliau berkata Tekun Nasional juga akan membuka dua lagi cawangan di Sabah tahun depan, menjadikan jumlah keseluruhan di seluruh negara sebanyak 173 cawangan.

Pengerusi Tekun Nasional Abdullah Sani Abdul Hamid berkata Tekun merancang untuk meningkatkan lagi pembiayaan dan memberi ruang lebih luas kepada peserta dalam pembiayaan.

“Kita sudah sasarkan tahun hadapan peruntukan pembiayaan sekitar RM1.15 bilion bagi pembiayaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.