Pukul penumpang guna kerusi lipat, polis tahan pemandu e-panggilan

Pukul penumpang guna kerusi lipat, polis tahan pemandu e-panggilan

Polis berkata suspek dipercayai memukul penumpang wanita warga China itu selepas mangsa menutup pintu kereta dengan kuat.

Mangsa yang berusia 22 tahun membuat laporan polis mendakwa dipukul beberapa kali menggunakan kerusi lipat oleh seorang pemandu e-panggilan pada 6.20 pagi, Sabtu lalu sehingga mengalami kecederaan pada jari, tangan dan muka. (Gambar Rawpixel)
KUANTAN:
Polis menahan seorang pemandu e-panggilan kerana disyaki memukul penumpangnya seorang wanita warga China yang juga penuntut sebuah universiti di negara ini, menggunakan kerusi lipat.

Ketua Poli Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan pada 7.15 malam semalam, selepas hadir membantu siasatan di IPD Kuantan.

“Polis turut merampas kerusi lipat yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian.

“Punca kejadian dipercayai kerana suspek mendengar mangsa menutup pintu kereta dengan kuat selepas menurunkan mangsa di sebuah hotel,” katanya menerusi kenyataan.

Wan Zahari berkata suspek juga didapati mempunyai kad orang kurang upaya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, mangsa yang berusia 22 tahun membuat laporan polis mendakwa dipukul beberapa kali menggunakan kerusi lipat oleh seorang pemandu e-panggilan pada 6.20 pagi, Sabtu lepas sehingga mengalami kecederaan pada jari, tangan dan muka.

Mangsa mendakwa kejadian berlaku semasa dia dan seorang rakan wanita menggunakan kenderaan e-panggilan itu untuk pulang ke hotel dari sebuah lokasi pelancongan di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.