Musim tengkujuh: Kerajaan peruntuk RM255 juta bantu pekebun getah

Musim tengkujuh: Kerajaan peruntuk RM255 juta bantu pekebun getah

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata bantuan keseluruhan RM800 itu bagi meringankan beban.

Zahid Hamidi yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah, berkata sehingga kini 271,213 pekebun menerima bantuan bagi November dan Disember. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memperuntukkan RM255 juta bagi membantu pekebun kecil getah di seluruh negara yang terkesan akibat musim tengkujuh tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, berkata peruntukan itu bagi meringankan beban pekebun kecil dalam menghadapi cabaran pengeluaran hasil getah ketika ini.

Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah, berkata sebanyak 311,596 permohonan telah diterima daripada jumlah sasaran penerima yang ditetapkan iaitu 318,750 individu melibatkan tiga agensi yang bertanggungjawab mengendalikan pembayaran itu.

“Daripada jumlah itu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) telah menerima sebanyak 230,735 permohonan manakala Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) masing-masing menerima 69,077 dan 11,784 permohonan.

“Bagi fasa penyaluran bantuan, setakat ini ketiga-tiga agensi sudah mencapai prestasi bayaran RM140,829,600 iaitu pekebun kecil dan penoreh getah Risda sebanyak RM76,140,800, LIGS RM55,261,600 dan Felda (RM9,427,200),” katanya dalam kenyataan.

Zahid berkata, setakat bulan ini, sebanyak 271,213 permohonan telah diluluskan dan pemohon telah menerima bayaran sebanyak RM200 bagi November dan Disember tahun ini.

Beliau berkata, baki bayaran akan dikreditkan ke akaun penerima pada Januari dan Februari 2024 menjadikan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM800.

Timbalan perdana menteri, berkata kelayakan penerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) melalui Risda adalah pekebun kecil dan penoreh yang memiliki dan mengusahakan tanaman getah tidak melebihi 2.5 hektar.

Zahid berkata, penyediaan BMT adalah untuk memastikan sokongan berterusan daripada kerajaan kepada pekebun kecil dan penoreh untuk terus bergiat dalam aktiviti perladangan getah dan menjana kemakmuran yang berpanjangan dalam sektor pertanian.

“Kerajaan berharap usaha itu memberi kesan positif kepada pembangunan sosioekonomi serta membawa peningkatan kualiti kehidupan pekebun kecil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.